Takbir Raya tanpa Abah

|

Pertama kali dalam hidup aku bertakbir raya tanpa abah. Abah dah meninggalkan kami selama-lamanya. Sebelum ini, setiap kali hari raya, abah akan memberi kutbah rayanya sebelum kami semua mendengar kutbah di masjid. Dalam kutbahnya penuh dengan nasihat kepada kami adik beradik. Sekarang tiada lagi nasihat-nasihat panjang lebar dari abah untuk kami. Aku rindu semua itu..

Sebelum ini, aku tak tahu bagaimana perasaan rindu pada yang telah tiada. Isteri aku selalu berbisik pada aku.”Rin rindu arwah mak la abg..” Aku biasanya menjawab..”Kalau rindu..doa la lepas solat” itu saja jawapan acuh tak acuh aku. Tapi sekarang baru aku tahu bagaimana rasanya rindu pada orang yang telah meninggal. Rindu berpanjangan yang tak mungkin boleh diubati lagi. Rindu yang tak mungkin hilang dengan hanya mendoakannya sahaja. Rindu yang tak berkesudahan sampai kita sama-sama menyambut seruan Ilahi.

Ujian demi ujian terpaksa keluarga kami tempuhi selepas abah meninggal. Antaranya mak telah difitnah orang yang menyatakan mak paksa diri untuk pergi ke Mekah walaupun tahu yang abah tengah sakit. Banyak perkara yang orang luar tak tahu dalam keluarga kami ini. Sebenarnya arwah abah telah menyembunyikan sakitnya yang teruk sebelum mak bertolak ke Mekah. Arwah abah tak mahu mak susah hati semasa dalam perjalanan ke Tanah Suci. Arwah abah yang memaksa mak pergi juga ke Mekah, kerana mak juga ada penyakit serupa dengan abah. Arwah abah menolak hasrat mak untuk menangguhkan perkara baik ini kerana bimbang mak takkan dapat peluang ini tahun hadapan seperti yang dihadapi abah tahun ini. Takdir Ilahi tiada siapa yang tahu, berkat membenarkan dan merestukan pemergian mak, akhirnya abah dapat juga ‘ikut’ mak mengerjakan haji setelah kami sempat mengupah haji arwah abah pada tahun ini juga.

Apabila difikirkan, dugaan mak lagi berat di Mekah. Mak yang kematian suami terpaksa berlinangan air mata keseorangan di sana. Tiada saudara mara atau kenalan rapat yang dapat menenangkan mak di sana. Setiap hari mak menelefon kami dan menangis. Dengan hanya mendengar suara kami adik beradik dan menantu saja yang dapat tenangkan mak masa itu. Sekarang Alhamdulillah, mak dah dapat ketenangan yang dicari di Mekah. Mak dah mula beransur sihat di sana. Setiap hari kami kirimkan doa. Kami doakan mak tenang menjalani ibadah dah balik dengan selamat. Itu saja yang diminta buat masa ini.

Aku tak tahu lagi bagaimana keadaan apabila mahu menjemput mak di Bayan Lepas nanti. Aku terpaksa kuatkan hati. Terpaksa cekalkan hati untuk menenangkan mak nanti…